Sinopsis Bab-Bab Bhagavad_Gita

  • Bab 1 (Arjuna-visada-yoga, 47 ayat)

Arjuna, hero Pandava, menjadi lemah dan sedih memikirkan bahawa beliau perlu menumpaskan Bhisma, Drona, saudara-mara serta sahabat-handainya. Seterusnya, beliau menghuraikan akibat peperangan yang mengerikan dan enggan untuk melakukan perbuatan keji itu.

  • Bab 2 (Sankhya yoga, 72 ayat)

Mendengar keluhan Ajuna, pada mulanya, Sri Krishna menegurnya kerana bersikap pengecut dan memalukan diri. Namun, ini tidak memberi sebarang kesan terhadap Arjuna. Maka, Sri Krishna memulakan huraian falsafah yang panjang lebar bagi menaikan semangat Arjuna. Roh yang menduduki badan adalah abadi. Oleh itu, tidak ada sebab untuk bersedih atas kematian dan kemusnahan. Tugas Arjuna ialah untuk berperang demi menegakkan keadilan dan kebaikan dengan kejayaannya atau mati sebagai seorang wira, jika perlu. Dengan menafikan tugasnya, Arjuna tidak harus bertunduk kepada kejahatan. Kerja yang dilakukan sebagai satu tanggungjawab, dengan semangat tersisih dan demi kebaikan dunia, akhirnya akan membantu jiwa mencapai kesempurnaan. Seorang manusia yang sempurna (dipanggil 'sthitaprajna') akan sentiasa tenang dalam segala keadaan hidup.

  • Bab 3 (Karmayoga, 43 ayat)

Sri Krishna menjelaskan keraguan Arjuna mengenai konflik antara jnana (ilmu) dan karma (kerja, tindakan). Menurut Sri Krishna, jalan karma adalah lebih mudah dan baik untuk kebanyakan orang. Dengan merujuk kepada raja-raja zaman silam seperti Janaka dan dirinya sendiri, Sri Krishna mendesak Arjuna untuk melakukan tugasnya tanpa mementingkan diri.

  • Bab 4 (Jnana Yoga, 42 ayat)

Sri Krishna mendedahkan bahawa pada permulaan zaman, beliau telah mengajar Karma Yoga kepada Vivasvan, dan orang-orang lain. Seterusnya, Sri Krishna memberikan rahsia penjelmaannya di bumi sebagai Jelmaan Tuhan yang datang demi mempertahankan Dharma. Tuhan menjelma di bumi atas kehendak-Nya sendiri apabila Dharma merosot dan Adharma meningkat.

  • Bab 5 (Karma Samnyasa Yoga, 29 ayat)

Arjuna menyoal sama ada Karma Samnyasa atau Karma Yoga adalah lebih baik. Sri Krishna menjawab bahawa Karma Yoga adalah lebih baik untuknya. Yang pentingnya ialah melakukan karma atau tindakan dengan tenang.

  • Bab 6 (Dhyana Yoga, 47 ayat)

Dalam bab ini, Sri Krishna menghuraikan proses Dhyana atau meditasi. Tempat dan postur yang sesuai untuk meditasi, serta kaedah-kaedah mengawal minda dihuraikan dengan terperinci.

  • Bab 7 (Jnana Vijnana Yoga, 30 ayat)

Sri Krishna sebagai Tuhan Yang Maha Esa telah mencipta alam semesta ini dengan menggunakan Prakriti. Tuhan yang melindungi dan menyokong semua dan setiap hidupan.

  • Bab 8 (Aksara Brahma Yoga, 28 ayat)

Sri Krishna menghuraikan di sini bagaimana seseorang yang mengingati Tuhan ketika saat kematian mencapai-Nya. Mengulangi Pranama atau Aum ketika saat kematian juga amat berfaedah. Sri Krishna juga menerangkan dua jalan yang terkenal - arciradimarga dan dhumadimarga, jalan cahaya dan jalan asap yang dilalui oleh Jiva selepas kematian jasadnya.

  • Bab 9 (Rajavidya Rajaguhya Yoga, 34 ayat)

Sri Krishna meneruskan dengan huraian tentang ilmu esoterik yang dapat memberikan kebebasan atau moksha. Tuhan ialah segala-galanya. Jika seseorang dapat menyembah-Nya dengan cinta, mempersembahkan kepada-Nya walaupun hanya sekuntum bunga, sehelai daun, atau air, Tuhan menerimanya dan memberkati pemuja-Nya. Pemuja-Nya tidak akan laknat.

  • Bab 10 (Vibhuti Yoga, 42 ayat)

Sri Krishna mendedahkan semua vibhuti atau penjelmaan ketuhanan-Nya dalam bab ini. Tuhan ialah intipati atau yang terbaik dalam semua hidupan dan benda. Seluruh alam ini menggambarkan cuma sedikit daripada keagungan-Nya.

  • Bab 11 (Visvarupa Darsana Yoga, 55 ayat)

Atas permintaan Arjuna, Sri Krishna memberikan penglihatan mistik kepadanya dan mendedahkan rupa agung-Nya atau dikenali sebagai Viswarupa. Kagum dengan keagungan Tuhan, Arjuna memyembah-Nya. Sri Selepas kembali kepada rupa manusia biasa-Nya, Sri Krishna berkata bahawa hanya orang yang mempunyai iman yang kuat dapat melihat rupa Viswarupa-Nya.

  • Bab 12 (Bhakti Yoga, 20 ayat)

Meskipun meditasi ke atas Avyakta atau Tuhan Yang Tak Berupa memberikan hasil yang sama seperti Bhakti kepada-Nya, jalan Bhakti adalah lebih baik. Oleh itu, Sri Krishna menasihatkan Arjuna untuk memupuk cinta untuk-Nya. Akhirnya, Sri Krishna juga menghuraikan ciri-ciri seseorang Bhakta atau pencinta Tuhan yang terbaik.

  • Bab 13 (Kshetra-Kshetrajña Yoga, 34 ayat)

Badan ialah kshetra atau sebuah padang. Diri atau Atman ialah kshetrajña atau orang yang mengetahui padang. Ini diikuti dengan huraian tentang jñana (ilmu), jñeya (Brahman, objek untuk dikenali), prakrti (alam semula jadi), dan purusa (Diri atau kshetrajña). Seseorang yang dapat membezakan antara prakrti dan purusha (Atman) akan mencapai Brahman.

  • Bab 14 (Gunatraya Vibhaga Yoga, 27 ayat)

Prakrti atau alam semulajadi mempunyau tiga sifat atau Triguṇa - Sattva, Rajas, dan Tamas. Huraian terperinci tentang tiga sifat ini dan tentang seseorang yang telah menjangkaui tiga sifat ini (guṇātīta) diberikan.

  • Bab 15 (Purusottama Yoga, 20 ayat)

Dalam bab ini, Sri Krishna menghuraikan samsara atau dunia sebagai sebatang pokok yang terbalik, akarnya berada di atas, dalam Brahman atau Purana Purusha, Dengan berserah kepada-Nya, manusia boleh menebang pokok ini dan mencapai kebebasan. Suatu deskripsi tentang jiwa yang lahir semula juga diberikan. Sri Krishna mengakui bahawa Dia ialah kuasa yang memelihara dunia dan segala kehidupan. Dia ialah Purushottama atau Makhluk yang Terbaik.

  • Bab 16 (Daivasura Sampad Vibhaga Yoga, 24 ayat)

Sri Krishna seterusnya menghuraikan sifat-sifat seorang yang mulia (daivi) dan keji (asuri). Arjuna ialah seorang mulia dan oleh itu Sri Krishna mendesaknya untuk mengelakkan tiga pintu ke neraka iaitu nafsu berahi, kemarahan dan ketamakan.

  • Bab 17 (Sraddhatraya Vibhaga Yoga, 28 ayat)

Bab ini menghuraikan tentang sraddha (kepercayaan), ahara (makanan), yajna (korban), tapas (disiplin kerohanian), dan dana (hadiah). Semua makhluk dibahagikan kepada tiga kategori berdasarkan kepada triguna. Sri Krishna juga menggunakan 'Om Tat Sat', suatu gelaran Brahman, dan mantera ini dapat bertindak sebagai mantera untuk membetulkan sebarang kecacatan atau kekurangan dalam kerja-kerja ibadat.

  • Bab 18 (Moksha Samnyasa Yoga, 78 ayat)

Ini ialah bab akhir dan yang terpanjang. Bab ini menyentuh tentang beberapa perkara seperti tyaga (pengorbanan), samnyasa (pelepasan), jnana (ilmu), karma (tindakan), karta (pembuat) yang dikategorikan menurut triguna. Pembahagian masyarakat kepada empat varna menurut sifat semulajadi dan pekerjaan seseorang juga diberikan. Akhirnya, Sri Krishna menasihatkan Arjuna untuk berserah kepada-Nya dan berjanji untuk membebaskannya daripada segala dosa. Selepas mendengar kata-kata Sri Krishna, Arjuna mengatasi segala keraguan dan kelemahannya, dan berjanji untuk berperang demi Dharma.